02/09/2026
SESI LIBAT URUS KOMUNITI KAMPUNG GUAR KEPAH 2026
Pada 30 dan 31 Ogos 2026 telah berlangsung Sesi Libat Urus Komuniti Kampung Guar Kepah yang melibatkan penduduk setempat dalam usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman terhadap kepentingan tapak arkeologi dan warisan Guar Kepah.
Program ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mengetahui dengan lebih dekat nilai warisan, penemuan-penemuan penting serta peranan Tapak Arkeologi Guar Kepah dalam memahami sejarah dan kehidupan masyarakat pada masa lampau.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut berpeluang mengikuti pratonton buku Guar Kepah yang mengetengahkan dapatan arkeologi serta kisah-kisah menarik berkaitan tapak warisan ini sebelum penerbitannya. Selain itu, perbincangan bersama komuniti turut diadakan bagi membuka ruang kepada penduduk setempat untuk berkongsi pandangan, idea dan harapan berkaitan pemeliharaan serta pembangunan warisan Guar Kepah pada masa hadapan.
Program turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dengan pihak pengurusan Galeri Arkeologi Guar Kepah, di samping mewujudkan kesedaran bersama tentang kepentingan memelihara khazanah sejarah yang terdapat di kawasan ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Dr. Shaiful Shahidan, pihak pengurusan Galeri Arkeologi Guar Kepah, penduduk Kampung Guar Kepah, urus setia serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Semoga usaha melalui sesi libat urus seperti ini dapat terus memperkukuhkan hubungan antara komuniti dan pihak galeri, serta menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam memelihara dan melestarikan warisan arkeologi Guar Kepah untuk tatapan dan manfaat generasi akan datang.
Mari bersama-sama melestarikan warisan sejarah Guar Kepah.