03/10/2026
Seminar Hari Malaysia sempena Sambutan Hari Malaysia Tahun 2026 Peringkat Daerah Lipis anjuran Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Lipis dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Kawasan Lipis telah diadakan pada 2 Oktober 2026 (Jumaat) di Dewan Bankuet Jubli, Kuala Lipis dengan mengangkat tema “Anak Lipis Arkitek Negara: Sumbangan Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie”. Seminar tersebut menampilkan YBhg. Prof. Madya Dr. Abu Hanifah bin Haris dari Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan YBhg. Prof. Madya Dr. Mohamed Ali bin Haniffa dari Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia sebagai ahli panel manakala Cikgu Ahmad Baihaqi bin Mohammad Yunus (SMK Merapoh) bertindak sebagai moderator. Prof. Madya Dr Ali Hmali Hmali dan Cikgu Baihaqi Catitan Pendek Si Bdm juga ialah AJK dan ahli PSM Kawasan Lipis.
Turut hadir ialah YB Dato' Hj. Mustapa Long, Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku merangkap Pengerusi PSM Kawasan Lipis. Seminar ini disertai Ketua-Ketua Jabatan Daerah Lipis, AJK dan ahli PSM Kawasan Lipis, semua Ketua Panitia Sejarah sekolah-sekolah menengah Daerah Lipis serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Lipis. Penganjuran seminar ini turut menjadi wadah untuk memperkenalkan dan menghayati sumbangan tokoh kelahiran Lipis, Allahyarham Tun Muhammad Ghazali Shafie, khususnya dalam konteks sejarah, pembangunan negara dan pembentukan identiti Malaysia.
Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman serta penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan peranan tokoh tempatan dalam pembangunan negara, di samping menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara. Selain itu, seminar ini diharapkan dapat memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memelihara sejarah dan warisan Daerah Lipis serta menjadi platform perkongsian ilmu antara tokoh akademik, pendidik, pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan dalam memperkasa pendidikan sejarah di peringkat daerah warisan sejarah ini.
Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam program bicara ilmiah ini.